JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam penentuan Liga Juara Asia (ACL) di Jepun semalam akibat kesilapan individu.
Tunku Ismail selaku pemilik JDT bertitah, perlawanan itu bagaimanapun menyaksikan pemain tempatan JDT telah berhempas pulas untuk bermain cara bola sepak yang dimahukan oleh pasukan berkenaan.
“Dalam bola sepak, semua perkara mengambil masa. Dulu, kami cuba untuk berada di dalam Piala AFC, setiap tahun kami berusaha melayakkan diri dalam pusingan kelayakan ACL dan setiap tahun kami semakin hampir.
“Tahun pertama kami tewas 3-0 bermain dalam pusingan kelayakan, tahun kedua kami kalah dengan penalti. Tahun ini kami berada dalam perlawanan penentuan ACL menentang Gamba Osaka. Kami dapat melihat bahawa kami semakin dekat,” titahnya dalam satu kenyataan semalam.
Tunku Ismail bagaimanapun berkata, baginda sangat gembira dan berbangga melihat JDT bermain di Jepun kerana ia adalah satu impian yang menjadi kenyataan baginya.
Terdahulu, baginda memaklumkan, JDT akan melakukan sesuatu pada jendela perpindahan seterusnya untuk mempertingkatkan lagi serangan pasukan itu.
JDT tewas 3-0 dalam aksi penentuan ACL di Jepun sewaktu menentang pasukan ke lima terbaik di Asia iaitu Gamba Osaka. – MYNEWSHUB.CC