LUNDU – Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka dapat mengumumkan keputusan pilihan raya kecil Tanjong Datu pada pukul 8 malam esok.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata banyak pusat mengundi akan ditutup awal sama ada pukul 12 tengah hari, 1 tengah hari, 3 atau 4 petang berbanding tempoh biasa pukul 5 petang.
Oleh itu beliau menasihatkan pengundi supaya keluar awal dan pastikan mereka mengetahui waktu tutup tempat mengundi masing-masing.
Mohd Hashim berkata perbezaan waktu tutup itu adalah berdasarkan jumlah pengundi di sesuatu tempat.
Beliau berkata sejumlah 9,771 pemilih layak mengundi. Seramai 188 anggota polis dan tentera mengundi awal pada 12 Februari lepas.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Adenan Satem, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, pada 11 Jan akibat komplikasi jantung.
Balunya Datuk Amar Jamilah Anu, 61, menjadi calon Barisan Nasional untuk mempertahankan kerusi itu.
Beliau dicabar calon daripada Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Johnny Aput dan dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS Baru), Rapelson Richard Hamit.
Mohd Hashim berkata sebanyak 25 pusat mengundi akan dibuka, dan pasukan pengendali pertama pusat mengundi akan berlepas ke Telok Melano hari ini, melalui sebahagian daripada projek Lebuh raya Pan Borneo (Sematan ke Telok Melano) kira-kira 32 kilometer jauhnya.
“Jalan terpantas ialah menggunakan bot tetapi kami bimbang keadaan laut yang bergelora esok. Mereka akan pulang dengan kotak undi menggunakan helikopter,” katanya.
Mond Hashim berkata SPR menjangkakan 75 peratus pemilih berdaftar akan keluar mengundi. – BERNAMA