SUSULAN kes seorang pelajar pusat latihan perindustrian di Jitra, Kedah dikasari tenaga pengajar sehingga tersebar di media sosial, kedua-dua pihak mengambil keputusan menyelesaikan kes itu secara berdamai di antara pihak yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, mangsa dan bapanya serta tenaga pengajar terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu jam 11.45 malam tadi bukan untuk membuat laporan berhubung kes tersebut, sebaliknya tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.
“Saya dimaklumkan kes itu hanya salah faham kerana berlaku kecuaian ketika pemasangan pendingin hawa itu sehingga menimbulkan kemarahan tenaga pengajar berkenaan.
“Penuntut dan tenaga pengajar terbabit bagaimanapun bersepakat untuk berdamai dan menyelesaikan kes itu secara dalaman tanpa memanjangkan sehingga menjadi kes polis,” katanya memetik Harian Metro.
Beliau berkata, disebabkan kes itu tular di media sosial, pihaknya turut menghantar detektif ke pusat latihan itu semalam untuk mengambil keterangan mangsa.
Mangsa juga dibawa ke Hospital Jitra untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya mengadu pedih di bahagian pipi.
Walaupun begitu, mangsa boleh membuat laporan polis pada bila-bila masa sekiranya tidak berpuas hati atau ada sebarang masalah berhubung kes tersebut.
Justeru, Abd Hadi menasihatkan orang ramai tidak terus menyebarkan kejadian itu sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai kerana kes itu telah diselesaikan di antara kedua-dua pihak.
Terdahulu, rakaman seorang penuntut pusat latihan perindustrian ditendang dan dikasari tenaga pengajarnya ketika sedang memasukkan gas ke dalam kompresor pendingin hawa, mengundang kemarahan netizen yang mendakwa tindakan tenaga pengajar itu agak keterlaluan. – MYNEWSHUB.CC