SEPANG – Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang di sini menjadi tumpuan media tempatan dan asing sebaik sahaja tersebar maklumat mengenai kehadiran dua wanita asing yang ditahan berhubung kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, pada Isnin lepas.
Kalangan pengamal media tempatan yang sebelum itu kebanyakannya berkampung di Mahkamah Sepang sejak 7.30 pagi, segera bergegas ke IPD itu sebaik mendapat maklumat bahawa prosiding reman dua suspek itu akan dilakukan di premis berkenaan.
Pada kira-kira 10.30 pagi, Majistret Sepang Sharifah Muhaymin Abd Khalib yang diiringi seorang jurubahasa tiba di IPD Sepang dengan menaiki kereta peronda polis untuk menjalankan prosiding reman dan meninggalkan tempat berkenaan setengah jam kemudian.
Pengamal media tidak dibenarkan memasuki bangunan IPD Sepang untuk membuat liputan prosiding reman berkenaan.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat ketika dihubungi mengesahkan prosiding reman tersebut dan berkata kedua-dua wanita berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu kenyataan berkata wanita kedua yang ditahan awal pagi ini berkaitan pembunuhan itu adalah pemegang pasport Indonesia bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb 1992.
Tangkapan kedua itu susulan penahanan seorang suspek wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasport Vietnam, di klia2 pada pukul 8.20 pagi semalam.
Dalam pada itu, kumpulan pengamal media asing dengan kru masing-masing mulai berkumpul di pintu masuk dan luar pagar bangunan utama IPD Sepang pada kira-kira 12 tengah hari setelah mendapat maklumat prosiding reman berlangsung di situ.
Pada kira-kira 1.20 tengah hari, kelibat dua wanita dilihat memasuki kenderaan polis dan meninggalkan perkarangan premis berkenaan.
Kira-kira tiga jam kemudian, tiga buah kenderaan polis dilihat memasuki perkarangan IPD Sepang dan kedua-dua suspek dibawa keluar dari kenderaan berkenaan.
Jurugambar dan jurukamera media yang menunggu di luar pagar IPD Sepang berebut-rebut dalam usaha untuk merakamkan wajah kedua-dua wanita warga asing itu.
Seorang daripada suspek yang berbaju kuning manakala seorang lagi berbaju merah dilihat digari bersama-sama ketika dibawa keluar dari kenderaan untuk dibawa masuk bangunan IPD Sepang.
Kedua-dua suspek wanita itu dipercayai meninggalkan IPD Sepang pada kira-kira 5 petang dengan diiringi dua buah kereta peronda.
Sebelum itu, kira-kira 4 petang, seorang pegawai Kedutaan Indonesia di Malaysia dilihat masuk ke perkarangan IPD Sepang dengan menaiki sebuah kenderaan kedutaan.
Lelaki berkaca mata serta berbaju batik itu dilihat meninggalkan perkarangan IPD Sepang pada 4.45 petang dan cuba mengelak kumpulan media yang sedang menunggu di luar.
Kedutaan Indonesia dilaporkan telah menghubungi Kementerian Luar Malaysia bagi mendapatkan kebenaran untuk menemui suspek wanita yang memegang pasport negara itu.- BERNAMA