KUALA LUMPUR – Empat suspek lelaki warga Korea Utara dalam kes bunuh Kim Jong-nam telah meninggalkan negara pada 13 Februari lalu, hari sama kejadian membabitkan abang tiri pemimpin tertinggi negara itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2).
Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim enggan mendedahkan lokasi dituju keempat-empat suspek terlibat.
Sementara itu, sumber memberitahu The Star, dalang utama kes berkenaan terbang ke Jakarta sebelum ke Dubai dan melalui Vladivostok sebelum tiba di Pyongyang.
“Mereka menggunakan laluan jauh untuk elak dikesan pihak berkuasa,” kata sumber Bukit Aman.
1. Rhi Ji Hyon, 33, tiba pada 4 Februari 2017
2. Hong Song Hac, 34, tiba pada 31 Januari 2017
3. O Jong Gil, 55, tiba pada 7 Februari 2017
4. Ri Jae Nam, 57, tiba pada 1 Februari 2017
Sementara itu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman juga, Noor Rashid turut mendedahkan tiga lagi wajah suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
Seorang daripada mereka ialah Ri Ji U, manakala dua lagi masih dalam siasatan.
Noor Rashid juga berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Interpol bagi mendapatkan maklumat berkaitan pergerakan semua suspek terlibat dalam kes berkenaan.
Jong-nam meninggal dunia selepas diserang dua wanita di Klia2 dipercayai dengan memercik cecair beracun ke mukanya.
Setakat ini, empat suspek telah ditahan polis termasuk dua wanita yang menyerangnya iaitu seorang rakyat Vietnam dan Indonesia, seorang lelaki warga tempatan dan seorang warga Korea Utara yang dikatakan pakar kimia. – mStar Online