KUALA LUMPUR – Video memaparkan kejadian pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, di aras pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), disiarkan sebuah stesen televisyen asing, mulai tersebar malam tadi.
Rakaman video berdurasi tiga minit dan tiga saat itu menunjukkan dua wanita yang ditahan iaitu wanita warga Vietnam dan Indonesia menghampiri mangsa sebelum mencekik dan menekap sesuatu dimuka Jong-nam sebelum kedua-duanya dirakam meninggalkan mangsa.
Di permulaan video itu, Jong-nam dilihat berjalan seorang diri melintasi pintu masuk dan bergerak menuju ke kios daftar masuk layan diri.
Pada durasi 42 saat, kelihatan Jong-nam diserkup oleh seorang wanita dipercayai menggunakan kain. Penyerang itu hanya mengambil masa selama 2.33 saat sebelum meninggalkan mangsa.
Selepas diserang, Jong-nam cuba mendapatkan bantuan dan dilihat bertanya kepada seorang wanita sebelum dibawa kepada anggota polis bertugas.
Sebaik berjumpa dengan polis, Jong-nam dilihat melaporkan kejadian beliau diserang dengan cara diserkup dipercayai menggunakan kain kepada anggota terbabit.
Beliau kemudian diiringi dua lelaki, termasuk seorang anggota polis ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan.
Pada durasi minit ke 2:35, Jong-nam memasuki premis klinik berkenaan. Selepas itu, beliau dipercayai rebah sebelum diusung masuk ke dalam bilik rawatan. Sehingga jam 12.53 pagi ini, video itu sudah ditonton lebih 219 kali. – Berita Harian