SEPANG – Aktiviti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) berjalan seperti biasa sekalipun ada tambahan anggota keselamatan susulan insiden kematian lelaki warga Korea Utara pada Isnin.
Jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata pengendali lapangan terbang itu bertindak menambah anggota keselamatan termasuk pegawai polis berpakaian preman bagi memberi ketenteraman dan keselesaan kepada penumpang dan pengembara.
Lelaki itu yang menggunakan nama Kim Chol, dikatakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2 pada Isnin dan dilapor meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Jurucakap MAHB itu berkata mereka juga terpaksa mengehadkan kehadiran media asing yang datang beramai-ramai ke lapangan terbang tersebut untuk membuat laporan berhubung kejadian.
Media asing diberi masa 10 minit untuk mengambil gambar dan video di lapangan terbang sebelum dinasihat keluar dari kawasan klia2, katanya.
“Kes ini kini di bawah siasatan polis. Media asing pula asyik mengganggu penumpang dan mereka (penumpang) berasa tidak selesa.
“Kami, MAHB, perlu menjaga kebajikan penumpang,” katanya.
Sementara itu, seorang marsyal teksi di klia2 yang hanya mahu dikenali sebagai Jebat, berkata dia tidak tahu tentang kejadian kerana sedang bercuti ketika itu.
Namun katanya dia dimaklumkan seorang daripada rakan sekerjanya dipanggil polis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, pelancong tempatan dan asing yang ditemu bual Bernama di lapangan terbang tersebut berkata mereka tidak tahu-menahu tentang insiden dan berasa terkejut selepas mendengarnya daripada pemberita Bernama.
Warga Taiwan, Valentina Cheng, 37, yang bekerja di sebuah syarikat Malaysia, berkata dia bagaimanapun tidak berasa tergugat dengan kejadian itu.
Seorang lagi penumpang yang yang juga tidak tahu tentang insiden, meluahkan keyakinan terhadap tahap keselamatan di klia2. – BERNAMA