KUALA LUMPUR – Selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim lalu, Khairul Idham Pawi tidak meletakkan harapan tinggi pada penampilan sulungnya bagi kelas Moto2 musim ini.
Sebagai pendatang baharu, Khairul Idham yang dinobatkan Pelumba Motosikal Terbaik pada Anugerah Sukan Permotoran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) 2016, menjangkakan bakal berdepan saingan sengit daripada pelumba handalan yang lebih berpengalaman.
Pelumba berusia 19 tahun yang lebih mesra dengan panggilan ‘Super Kip’ itu, berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharunya, yang jauh berbeza berbanding jentera digunakannya musim lepas.
“Tahun pertama ini memang agak sukar kerana akan bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman, selain saya masih baru dalam perlumbaan Moto2 ini.
“Saya perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 kerana jentera yang digunakan dalam Moto3 dan Moto2 jauh berbeza…jentera Moto2 lagi laju dan lebih berat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2016 di sini, malam semalam.
Khairul Idham yang akan berlepas ke Barcelona, Sepanyol, Rabu ini, untuk menguji jentera baharu bersama pasukannya, bagaimanapun berazam untuk memberikan yang terbaik dalam kejuaraan itu nanti.
“Walaupun saya tidak meletakkan harapan tinggi pada musim pertama ini, saya tetap akan sentiasa bekerja keras untuk memberi yang terbaik dalam setiap perlumbaan,” katanya.
Seorang lagi pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bertekad untuk memperbaiki pencapaiannya pada musim lepas, dalam kejuaraan tahun ini.
“Tahun ini saya akan berlumba menggunakan jentera terbaharu dan saya menyasarkan untuk menaiki podium,” katanya. – BERNAMA