SEPANG – Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) di sini yang bakal beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2019 akan menjadi satu lagi mercu tanda baharu dalam industri penerbangan awam negara, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, KL ATCC juga membuktikan satu lagi kejayaan program transformasi negara (GTP) dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
Beliau berkata, pusat kawalan trafik baharu yang dibina dengan kos RM650 juta itu akan menjadi tunjang utama keseluruhan pengurusan trafik udara di negara ini termasuk sebagai pusat koordinasi Sistem Mencari dan Menyelamat (SAR).
“Transformasi berskala besar ini tidak akan dapat menjamin pertumbuhan industri penerbangan tanpa penambahbaikan dan penaiktarafan infrastruktur industri penerbangan awam, dan ini sudah tentu merangkumi sistem dan kemudahan pengurusan trafik udara dalam negara kita.
“Ini amat penting kerana saya difahamkan Projek KL ATCC ini , apabila siap dibina, akan menjadi titik permulaan pelaksanaan penstrukturan semula Ruang Udara Kuala Lumpur (KL FIR) yang akan membolehkan KLIA untuk berupaya beroperasi pada tahap maksimum melalui operasi tiga landasan secara serentak.
“Operasi secara serentak ini disasarkan dapat mempertingkatkan kapasiti landasan di KLIA secara keseluruhannya dari 78 kepada 108 pergerakan pesawat sejam, antara tertinggi di dunia sekali gus dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara melalui perkembangan industri penerbangan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah KL ATCC di sini hari ini.
Dalam pada itu, Najib berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan ditranformasikan sebagai badan berkanun dimana ia akan dikenali sebagai Lembaga Penerbangan Awam Malaysia.
Katanya, struktur baru DCA itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini.
“Langkah menstruktur semula DCA penting bagi memastikan operasi penerbangan awam negara mematuhi Badan Kawal Selia Penerbangan Awam Dunia (ICAO),” katanya. – Berita Harian