WASHINGTON DC – Thailand muncul negara dengan jalan raya paling sesak di dunia pada 2016 manakala Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) tempat pertama untuk trafik bandar raya tersesak.
Perkara tersebut didedahkan menerusi laporan kajian terbaharu oleh INRIX, sebuah badan analisis data kesesakan lalu lintas yang berpangkalan di sini berdasarkan kepada 500 terabyte data daripada 300 juta sumber trafik.
Paling menarik, Kuala Lumpur iaitu bandar raya terbesar dan ibu kota Malaysia buat julung kali tiada dalam senarai teratas 100 buah kota raya dunia menerusi laporan tersebut yang melibatkan kira-kira 1,064 buah bandar utama.
Menurut INRIX, pemandu di Los Angeles paling derita ‘sangkut’ purata 104.1 jam kesesakan sepanjang tahun diikuti Moscow, Rusia (91.4 jam), New York, AS (89.4 jam), San Francisco, AS (82.6 jam) dan Bogota, Colombia (79.8 jam).
Untuk rantau Asia Tenggara, Bangkok menjadi kota paling sesak dengan purata pemandu menghabiskan waktu 64.1 jam di jalan raya selama satu tahun. Ibu kota Thailand itu malah menduduki tangga ke-12 di peringkat dunia.
Manakala Jakarta, ibu negara Indonesia yang terkenal dengan gelaran ‘macet bangat’ pula berada di tempat ke-22 dunia apabila pemandunya terpaksa membuang masa 55 jam terjebak dalam kesesakan trafik selama satu tahun.
Beberapa buah kota besar di Indonesia turut disenaraikan dalam laporan INRIX itu antaranya Bandung (42.7 jam), Malang (39.3 jam), Yogyakarta (39.2 jam) dan bandar raya terbesar di Pulau Sumatera, Medan (36.7 jam).
Paling dahsyat apabila ia turut melibatkan empat bandar utama Asia lain dalam senarai 100 terburuk sesak iaitu Istanbul, Turki (ke-15); Riyadh, Arab Saudi (ke-50); Dubai, UAE (ke-81) dan Jeddah, Arab Saudi (ke-84).
Juga kota yang dianggap mustahil sesak antaranya Paris, Perancis (ke-9), Zurich, Switzerland (ke-21), Rio de Janeiro, Brazil (ke-25), Cape Town, Afrika Selatan (ke-28), Munich, Jerman (ke-29) dan Madrid, Sepanyol (ke-44).
Di peringkat negara pula, tempat kedua disandang oleh Colombia diikuti Indonesia, Rusia, AS, Venezuela, Afrika Selatan, Brazil, Puerto Rico, Turki, Britain, Jerman, Slovakia, Kanada, Luxembourg, Mexico, Norway dan Poland.
Turut termasuk dalam senarai itu ialah Mexico (ke-14), UAE (ke-20), Ecuador (ke-21), Arab Saudi (ke-24), Perancis (ke-25), Kuwait (ke-27), Denmark (ke-34) dan agak memeranjatkan ramai ialah Singapura (ke-38) sendiri.
Bagaimanapun, ada segelintir penyelidik mempertikaikan hasil kajian badan tersebut kerana tidak memasukkan pula beberapa bandar utama di China dan Jepun dalam senarai 38 buah negara yang terlibat di peringkat global.
INRIX dalam kajian itu mendedahkan bahawa isu kesesakan trafik di AS mengakibatkan kerugian hampir AS$300 bilion (kira-kira RM1.3 trilion) dari segi kos produktiviti dan bahan bakar dibazirkan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA