KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha sebuah kementerian bergelar ‘Datuk’ akan dituduh esok di mahkamah atas pertuduhan rasuah.
Menurut sumber, turut dituduh esok ialah anaknya yang berusia 35 tahun atas kesalahan meminta rasuah untuk dirinya dan ayahnya.
“Kedua-dua mereka ditahan hari ini dan dijangka dituduh di dua mahkamah esok iaitu di Mahkamah Jalan Duta dan Mahkamah Shah Alam.
“KSU yang bergelar Datuk itu dan anaknya ditahan pada kira-kira 10.30 pagi tadi di pejabat SPRM Kedah,” katanya kepada Bernama.
KSU berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM manakala anaknya akan dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.
Sebelum ini, kedua-duanya pernah ditangkap dan disiasat SPRM kerana disyaki menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukan KSU tersebut bagi tujuan menerima rasuah sejak tahun 2010.
Mengikut siasatan yang dijalankan, KSU berkenaan dipercayai telah menganugerahkan kontrak kepada mereka yang berkepentingan sejak dilantik sebagai pegawai kerajaan negeri bermula tahun 2010. – BERNAMA