TAWAU – Sepasang suami isteri terpaksa berenang lebih 10 jam di laut selepas bot laju yang dinaiki bersama-sama 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) lain karam di perairan Batu Payung di sini.
Mereka berdua akhirnya berjaya diselamatkan oleh sekumpulan enam pemancing pada petang Rabu. Tragedi itu menyaksikan setakat jam 11 pagi Khamis, enam mayat daripada 15 mangsa bot malang itu sudah pun ditemui.
Safar Sehan, 57 tahun, ketika ditemui Bernama berkata kira-kira pukul 5 petang, dia dan rakan-rakannya kebetulan sedang memancing apabila secara tiba-tiba dikejutkan dengan teriakan seseorang yang memohon bantuan.
“Kami kemudian melihat dua orang sedang melambai dan meminta tolong di tengah laut, sebelum kami bergegas meminta bantuan dari beberapa pekerja kilang berdekatan dan meminjam pelampung kecemasan.
“Ada pekerja kilang ini yang berenang dan berjaya menarik kedua-dua mangsa terbabit ke kawasan berbatu sebelum kami pula mengangkat kedua-dua mangsa naik ke darat,” kata Safar kepada pemberita semalam.
Katanya ketika berada di darat, mangsa lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rudy masih lagi sedar manakala isterinya pula masih dalam keadaan separuh sedar mungkin akibat keletihan berenang terlalu lama di laut dalam.
Berdasarkan maklumat daripada mangsa terlibat, Safar berkata bot laju saiz kecil berkenaan yang dalam perjalanan ke Sungai Nyamuk di Indonesia sebelum dipukul ombak besar dan kemudian karam malam kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata bahawa pihak polis dan agensi keselamatan lain giat menjalankan operasi pencarian saki baki mangsa di sekitar perairan Batu Payung.
Selasa lalu, bot membawa 15 warga Indonesia termasuk juragan, karam dipercayai dipukul ombak besar lima hingga 10 minit selepas bertolak dari jeti Tinagat Batu Payung pada 5.30 petang ketika menuju Sungai Nyamuk Indonesia.
Pihak Konsul Besar Indonesia di Kota Kinabalu dalam pada itu mengesahkan penemuan sekumpulan enam mayat di perairan Laut Sebatik, wilayah Indonesia di kawasan Sungai Taiwan dan sekitar Laut Karang Unaran.
Menurut maklumat pihak berkuasa Indonesia, mayat berkenaan terdiri daripada mayat seorang lelaki dewasa, dua wanita termasuk seorang hamil dan tiga kanak-kanak lelaki. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA