JOHOR BAHRU – Cadangan larangan remaja bawah umur berada di kawasan bandar raya, jalan raya dan lokasi tertentu pada lewat malam disambut baik oleh ibu bapa remaja yang cedera dalam kemalangan berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam di sini Sabtu lepas.
Normah Saleh, 54, ibu kepada Abdul Samad Abdul Kadir, 16, berkata langkah itu amat baik demi keselamatan anak-anak.
“Saya harap ibu bapa sayangilah anak-anak. Biar anak menangis, jangan kita yang menangis,” katanya yang ditemui di Wad Barat 2, Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini.
Aisah Poli, 65, nenek kepada Mohammad Arasshat Abdullah, 14, yang tinggal di Taman Desa Mutiara di sini turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan berharap ia dapat dikuatkuasakan segera.
“Selepas apa yang berlaku (kemalangan), saya memang berharap sangat larangan ini dapat dikuatkuasakan supaya kemalangan seumpama ini tidak berulang,” katanya yang menjaga Mohammad Arasshat selepas kedua ibu bapa remaja berkenaan meninggal dunia enam tahun lepas.
Ibu kepada Muhamad Farhan Che Mat, 16, iaitu Mawarni Pahmi, 45, pula mencadangkan agar kerajaan negeri dapat menyediakan tempat beriadah bersesuaian bagi remaja yang aktif berbasikal.
“Saya sangat setuju dengan larangan terbabit dan saya juga mahu ibu bapa di luar sana jadikan ia sebagai iktibar.
“Usia remaja adalah peringkat anak-anak mencuba sesuatu yang walaupun kita larang, mereka tetap akan melakukannya,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yamg mencadangkan kerajaan negeri mengeluarkan larangan tersebut berkata, larangan itu perlu bagi menangani pelbagai kejadian tidak diingini seperti kemalangan yang mengorbankan lapan nyawa dua hari lepas. – BERNAMA