COX’S BAZAR – Lebih 1,000 etnik Muslim Rohingya dikhuatiri dibunuh dalam satu operasi tentera Myanmar, kata dua pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pegawai terbabit dalam misi membantu pelarian akibat keganasan itu turut menjangkakan jumlah kematian lebih tinggi daripada yang dilaporkan sebelum ini.
Mereka yang bertugas di dua agensi di bawah PBB di Bangladesh turut melaporkan hampir 70,000 warga Rohingya sudah melarikan diri, sejak beberapa bulan lalu.
Sehubungan itu, mereka menyatakan kebimbangan bahawa dunia luar mungkin tidak mengetahui keadaan krisis di negeri Rakhine itu yang kini bertambah buruk.
“Terdapat perkhabaran bahawa ada beratus-ratus kematian.
Ia bukan jumlah sebenar, kerana ia mungkin membabitkan beribu-ribu korban,” kata salah seorang pegawai itu yang enggan mendedahkan identitinya.
Kedua-dua pegawai itu, dalam temu bual berasingan, memetik maklumat yang dikumpul agensi mereka daripada pelarian, sejak empat bulan lalu dan menyimpulkan jumlah kematian mungkin melepasi paras 1,000 orang. – REUTERS/BH ONLINE