MIRI – Akibat tekanan perasaan seorang lelaki menimbulkan kekecohan di sebuah hotel enam tingkat di Bintulu menyebabkan bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan keadaan, pagi ini.
Kekecohan bermula apabila lelaki berusia 30 tahun yang juga penghuni hotel tersebut membakar sampah di luar tingkap biliknya menyebabkan pekerja hotel berkenaan bimbang berlaku kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di-Hatta Gobel berkata seorang pekerja hotel ternampak kepulan asap keluar dari bilik tersebut dan terus menghubungi bomba pada pukul 11.17 pagi.
“Anggota bomba yang tiba ke lokasi enam minit selepas itu, terus ke bilik lelaki berkenaan untuk memujuknya keluar.
“Lelaki itu berjaya dipujuk setelah kita menerangkan tindakannya boleh membahayakan nyawa orang lain,” katanya sambil menambah lelaki tersebut mendakwa tindakannya membakar sampah adalah sebagai langkah menghalang virus penyakit daripada merebak.
Menurutnya lelaki itu memadam sendiri api berkenaan dan tidak mengalami kecederaan fizikal dan dia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA