HYDERABAD – Rakaman dimuat naik ke Internet menunjukkan seorang lelaki menyerang orang ramai dan memecahkan cermin sebuah beca bermotor menggunakan batang besi selepas isterinya cedera akibat kejadian yang sebenarnya bukan salah sesiapa.
Video yang dirakam di Hyderabad, selatan India, menunjukkan pasangan suami isteri itu menaiki motosikal yang dihentikan di tepi jalan sebelum beca terbabit lalu di belakang mereka.
Malangnya, hujung sari wanita terbabit tersangkut pada roda beca berkenaan menyebabkannya jatuh ke jalan dan terseret.
Pemandu beca itu segera berhenti dan penumpangnya serta orang ramai bergegas membantu wanita berkenaan.
Namun, tiba-tiba suaminya berang dan mula menyerang semua orang termasuk menumbuk dua penunggang motosikal lain.
Seorang penunggang motosikal berjaya melarikan diri sebelum lelaki itu mencapai batang besi dan memecahkan cermin depan beca itu.
Dalam kekecohan itu, wanita terbabit bangun dan pergi ke tepi jalan, seolah-olah tidak mengalami kecederaan.
Rakaman itu tamat dengan lelaki berkenaan tiba-tiba bertenang dan menyerahkan batang besi berkenaan kepada seseorang. – Agensi/myMetro Online