MUAR – Tarikh 23 Februari bukan asing bagi penduduk Bukit Kepong, pekan kecil di Daerah Muar yang terkenal menerusi filem epik sejarah Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsudin pada 1981.
Pada tarikh itu, ramai kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor saban tahun ‘turun padang’ memenuhi Masjid Bukit Kepong dekat balai polis di pekan tersebut.
Mereka bukan sahaja memperingati peristiwa berdarah serangan kejam pengganas komunis ke atas balai kecil itu, malah membaca Yasin, tahlil dan doa selamat selain menziarahi pusara mangsa termasuk ahli keluarga yang syahid.
Namun, hari ini ia lebih istimewa apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan hadir mencemar duli ke pekan itu bersempena ulang tahun ke-77 tragedi tersebut dan merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong.
Sultan Johor turut berkenan menyaksikan persembahan pentomen Bukit Kepong sebelum diakhiri dengan melawat pameran sejarah insiden itu di ruang galeri berkenaan yang siap dibina pada tahun lalu menelan kos RM11.5 juta.
Berkonsepkan muzium mini, ia diwujudkan bagi menghargai jasa 25 anggota polis, keluarga dan orang awam yang mempertahankan balai polis tersebut dalam serangan besar-besaran militan Bintang Tiga pada 23 Februari 1950.
Ketibaan baginda dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah jam 10 pagi diiringi anakanda-anakandanya serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan kenamaan-kenamaan lain serta ribuan penduduk Bukit Kepong sendiri.
Ironinya, ketika pekan tersebut meriah bagaikan pesta, sesuatu yang agak janggal dan diperkatakan ramai apabila tiada kelibat Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dirakamkan pihak media sepanjang acara berlangsung.
Walhal semua maklum, bekas timbalan perdana menteri itu bukan asing setiap kali tiba 23 Februari waima Masjid Bukit Kepong pun dirasmikan beliau sendiri selepas diubah suai suatu ketika pernah menjadi wakil rakyat UMNO.
Ketiadaan Muhyiddin, yang kini Presiden PPBM, sebuah parti pembangkang kecil serpihan UMNO; turut dirasai penduduk Bukit Kepong sementelahan program dihadiri Sultan Johor ini bukan acara politik anjuran BN atau UMNO.
Tinjauan menerusi akaun Facebook beliau mendapati, kali terakhir status laman sosial berkenaan dikemas kini ialah pada 18 Februari lalu dan selepas itu, mantan menteri besar Johor tersebut tidak memuat naik sebarang khabar.
Timbul cakap politik ‘kedai kopi’ konon sama ada bekas timbalan presiden UMNO itu berasa malu bertemu Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas timbalan presiden parti itu atau tidak dijemput pihak penganjur PDRM sendiri.
Namun sekali pun tidak menerima pelawaan rasmi protokol, Muhyiddin sepatutnya boleh sahaja hadir kerana ia berlaku di kawasan beliau dan acara berprofil tinggi itu dihadiri Sultan Ibrahim serta terbuka kepada rakyat jelata.
Untuk kita bersangka baik, mungkin ada sesuatu di luar kawalan mengakibatkan Muhyiddin gagal muncul dan ia tiada kena-mengena dengan politik di sebalik titah Sultan Johor ‘sindir’ Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Barang kali ada hikmah apabila Muhyiddin tidak datang kerana jika tidak, tentu beliau ‘segan’ menjadi tumpuan pihak media untuk mengulas titah sindiran tajam Sultan Ibrahim kepada peneraju partinya itu secara terbuka.
Bayangkanlah bagaimana ‘tebal muka’ Muhyiddin mendengar titah ‘pedas’ baginda yang memberi mesej secara tersirat kepada Bangsa Johor untuk menolak Mahathir daripada arus politik perdana! – Mynewshub.cc/HAA