DAP akan kekal sebagai parti totok Cina. Sejarah membuktikan DAP ditubuhkan atas semangat Cina walaupun perlembagaannya bersifat keahlian pelbagai kaum.
DAP sejak bersama PKR dan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) telah mencuba pelbagai resipi perubahan demi usaha menjadi sebahagian kuasa Putrajaya sejak PRU 12 dan PRU 13.
Setelah sembilan tahun berkompromi dengan Pas dan PKR melalui PH dalam konteks perkongsian kuasa di negeri dan kabinet bayangan kalau menakluk Putrajaya pada 2008, DAP kini menuju kemuncak pergolakan dalaman.
Harga memindahkan semangat Cina totok parti itu ke wajah multi bangsa sekali pun secara palsu, kini mencetuskan impak bukan kepalang.
Dasar Cina DAP kini tercabar. Sejak kemelut perpecahan PR dengan Pas menarik diri, serta kewujudan PAN sebagai parti sekutu baharu, DAP melalui frasa lebih dinamik dalam konteks mahu mengubah persepsi pengundi bahawa parti itu bersifat pelbagai kaum dan bukan totok Cina.
Malah sekarang, dengan kehadiran Tun Mahathir sebagai de facto baharu pakatan pembangkang serta pelbagai kompromi sulit dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang – kepimpinan akar umbi mula kurang senang.
Menerima Datuk Zaid Ibrahim sebagai ahli parti juga satu tamparan. Zaid dilihat Melayu berprofil tinggi serta sekutu Tun M. Menerima Zaid seperti meletakkan proksi Tun M dalam DAP. Satu tindakan sengaja sebagai langkah taktikal menjadikan Dap kelihatan lebih Melayu.
Ini pasti tidak disenangi pejuang Cina totok dalam DAP.
Tindakan empat wakil rakyat Dap di Melaka iaitu Adun Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) serta Anggota Parlimen, Sim Tong Him (Kota Melaka) satu letupan protes senyap di peringkat pimpinan bawahan.
Langkah meneutralisasikan DAP sebagai tidak totok Cina kini harus dibayar dengan harga yang mahal.
Kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ini tanda kekalutan dalaman.
Kenapa ia berlaku sekarang?
Choong Seong mendakwa DAP sejak 2 hingga 3 tahun lalu menyimpang daripada perjuangan asalnya.
“Perjuangan asal DAP berkonsep “Malaysian Malaysia”, tetapi sekarang berbeza. Saya rasa ini pendekatan yang berbahaya dalam usaha menarik sokongan Melayu,” katanya kepada pemberita di Melaka semalam.
Manakala Tong Him mendakwa, beliau hilang keyakinan dan sangat kecewa dengan kepimpinan DAP terutama Setiausaha Agung Lim Guan Eng dalam menangani isu dalaman dan luaran parti.
Pastinya kerana kepimpinan atasan membuat dasar neutralisasi kaum dengan kehadiran pemimpin Melayu dalam parti tanpa mempedulikan semangat asal DAP sebagai parti totok Cina.
Tunggu! Sepanjang minggu ini pasti gempa susulan akan berlaku. Pemberontakan akar umbi pasti bukan hanya di Melaka. Sudah tentu DAP Perak dan Kedah yang terkenal agak anti Dinasti Lim akan ikut bertindak.
De Facto Tun M dan kehadiran Zaid akan menjadi titik hitam perpaduan kecinaan DAP sebelum PRU 14.