MIRI – Mangsa banjir di Limbang, Sarawak meningkat kepada 410 orang daripada 125 keluarga setakat pukul 8 malam ini daripada 390 orang daripada 121 keluarga petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mejar Ismail Mahedin berkata kesemua mangsa adalah dari Rumah Panjang Asan, Kampung Semena dan Kampung Hujung Jalan ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Mendamit di Nanga Mendamit yang dibuka sejak semalam.
Ismail dalam satu kenyataan di sini berkata, jumlah sekolah rendah ditutup esok masih kekal 12 buah sekolah di Limbang dan Miri melibatkan 886 murid. – BERNAMA