JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Segamat kekal 30 orang di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata enam keluarga di Mukim Gemerih itu masih berada di Balai Raya Kampung Batu Badak.
Kesemua mereka terdiri daripada lapan lelaki, 17 wanita, tiga kanak-kanak lelaki, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita warga emas, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ayub berkata Jalan Kampung Sungai Pinggan di Pontian masih terputus hubungan akibat jambatan runtuh, 24 Jan lepas.
Sementara itu, beliau berkata PPS Balai Raya Kampung Pasir Puteh di Pasir Gudang yang dibuka 8 malam tadi ekoran banjir kilat petang semalam, ditutup 6 pagi ini.
PPS berkenaan menempatkan empat orang daripada sebuah keluarga, katanya. – BERNAMA