KANGAR – Hampir 4,500 penyertaan dari dalam dan luar negara khususnya melibatkan pelari marathon dari negara ASEAN diterima bagi menyertai acara larian Marathon Perlis 2017 yang akan diadakan pada 30 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Abdul Jamil Saad berkata berdasarkan sambutan yang diterima, pihak penganjur menjangka matlamat untuk mencapai 10,000 peserta akan terlaksana.
“Kami menjanjikan penganjuran acara kali ini lebih baik berdasarkan pengalaman berharga menganjurkannya kali pertama pada 2015 dan kedua tahun lepas.
“Pada acara kali ini juga, sekretariat penganjuran peringkat negeri diwujudkan agar edisi ketiga larian ini dapat menjadi tarikan utama pelancongan dan berjalan lancar,” katanya.
Beliau ditemui selepas pelancaran rasmi Marathon Perlis 2017 oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, di Dewan Warisan di sini hari ini.
Acara larian kali ini menawarkan hadiah wang tunai RM250,000 serta pelbagai hadiah menarik dan cabutan bertuah dengan hadiah utama iaitu sebuah kereta sumbangan syarikat Naza Motor.
Orang ramai yang berminat untuk mendaftar serta mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari www.myraceonline.com sebelum penyertaan ditutup pada 16 April. – BERNAMA