KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berterusan menjalankan ‘Aktiviti Kawalan Tikus’ melibatkan kawasan komersial, medan selera serta lokasi aduan di seluruh kawasan MPAJ.
Dalam operasi pada 22 Jan lalu, pihak MPAJ meletakkan racun jenis ‘Racumin’ yang berbentuk palet di lokasi berpotensi bagi pembiakan tikus serta laluan tikus seperti tempat pembuangan sampah, longkang, lubang pada tanah dan bahagian lorong belakang premis.
“Pihak MPAJ menerima 85 aduan membabitkan tikus sepanjang tahun lalu dan hasil tindakan penghapusan tikus ini, 463 tikus mati dibersihkan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan MPAJ di sini hari ini.
MPAJ berharap pemilik premis makanan agar sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak pembiakan tikus berlaku dan sentiasa membuat pemeriksaan serta penguatkuasaan kebersihan dari semasa ke semasa. – BERNAMA