KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di Kuching pada Jumaat untuk melakukan lawatan kerja selama tiga hari di Sarawak nyata menerima sambutan hangat penduduk.
Menerusi kenyataan di laman Facebook, beliau berasa begitu gembira apabila melihat masyarakat di Sarawak dapat makan bersama-sama ahli keluarga masing-masing di salah sebuah lokasi makanan laut terkenal di bandar raya ini.
Menurut Najib yang dipetik portal berita tempatan Sarawakiana, terdapat banyak makanan laut tempatan di medan selera TopSpot di sini ketika beliau secara kebetulan datang singgah untuk makan malam di situ.
“Kalau datang sini, harus cuba sayur midin juga dengan belacan,” katanya menerusi akaun Facebook. Kawasan popular itu terletak di aras bumbung Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak di Jalan Bukit Mata Kuching.
Kehadiran Najib tanpa dirancang itu turut mengejutkan ratusan pengunjung yang terus berasa teruja untuk bersalaman dan beramah mesra sendiri secara langsung dengan pemimpin nombor satu negara tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional berada di Bumi Kenyalang untuk berkempen membantu calon parti, Puan Seri Jamilah Anu sempena Pilihan Raya Kecil Kerusi DUN Tanjong Datu di sekitar Lundu dekat sini.
Netizen yang rata-rata dari Sarawak juga menghargai usaha Najib yang dianggap mempromosi makanan popular Sarawak iaitu midin belacan jika berkunjung ke negeri terbesar di Malaysia itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA