SEPANG – Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia2) hari ini menjadi tumpuan wakil media susulan maklumat mengenai kemungkinan Kim Han-sol, 21, akan tiba pada Isnin malam.
Penerbangan AirAsia AK8321 dari Macau yang dipercayai dinaiki Kim Han-sol mendarat kira-kira 7.33 malam namun kelibatnya gagal dikesan kira-kira 100 pengamal media yang menanti sejak 6 petang.
Pihak media yang menunggu di dua lokasi Klia2 iaitu balai ketibaan antarabangsa dan pintu laluan orang kenamaan, beberapa kali cuba mengejar individu yang kelihatan seperti Han-sol, namun berakhir kecewa.
Pada kira-kira 9 malam berlaku sedikit kekecohan apabila para wartawan mula mengejar seorang pemuda yang memakai topeng muka, di mana individu itu kelihatan seiras seperti Han-sol yang tiba di sini, sebentar tadi.
Pihak media dengan penuh bersemangat mengejar pemuda tersebut sehingga ke pintu keluar namun ternyata hampa apabila mendapati dia bukan ‘Han-sol’ sebenar.
Sehingga kini pihak media masih menanti ketibaan Han-sol yang difahamkan pesawat yang dinaikinya sudah pun mendarat jam 7.33 malam tadi. – MYNEWSHUB.CC