BALING – Seorang pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kuala Ketil, Kedah ditemui mati tergantung di dalam bilik air kediaman asramanya, malam tadi.
Mayat mangsa ditemui rakan sebiliknya kira-kira jam 11 malam dengan lehernya dililit kain pelikat yang diikat pada saluran paip.
Harian Metro melaporkan Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata mayat mangsa yang berusia 21 tahun itu dibawa turun oleh rakannya sebelum dimaklumkan kepada pihak pengurusan KUIN.
Menurutnya, mangsa adalah penuntut tahun pertama jurusan sarjana muda syariah yang berasal dari Perupok, Bachok, Kelantan.
Jelasnya, mangsa dipercayai menggunakan kain pelikat sebagai tali untuk menggantung diri.
“Ketika anggota dari Balai Polis Kuala Ketil tiba di lokasi kejadian, mayat mangsa sudah dibawa turun rakannya.
“Kami masih menyiasat dan sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian status Najibah Mardhiah di Facebook, dia menafikan dakwaan mangsa yang dikenali sebagai Wan Mohd Amin Ramli mati akibat membunuh diri.
Najibah yang mengaku dirinya adalah rakan mangsa menjelaskan rakannya itu meninggal dunia akibat terjatuh di dalam bilik air dan kepalanya terhantuk menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.
Dia juga meminta semua pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan mereka cerita yang tidak benar mengenai mangsa.
“Yang mana ada terbaca, mohon jangan anggap dia bunuh diri. Tergelincir dalam bilik air tak dikira bunuh diri. Buruk nama arwah bila buat citer macam ni. Bawak tobatlah kau yang sebar citer!” tulisnya. – MYNEWSHUB.CC
*Video dibawah sekadar hiasan.