ALOR SETAR – Polis Kota Setar meningkatkan kerjasama dengan pengurusan sekolah di daerah ini berikutan kes pelajar terbabit jenayah terus mencatatkan peningkatan setiap tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata langkah pencegahan drastik perlu diambil bagi mengelak remaja terutama pelajar terjebak dalam jenayah.
Menurutnya bagi tempoh tidak sampai dua bulan dalam tahun ini, sebanyak sembilan kes pelajar terbabit jenayah direkodkan.
“Ia amat membimbangkan memandangkan jenayah yang dilakukan juvana ini membabitkan dadah, jenayah kekerasan dan mencuri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Teknik Alor Setar (SMTAS) di sini, hari ini.
Mohd Rozi berkata, rata-rata pelajar sekolah terlibat dalam jenayah akibat terpengaruh dengan media sosial dan faktor persekitaran dan menurutnya pada tahun lepas sebanyak 353 kes jenayah membabitkan pelajar direkodkan berbanding 300 kes pada 2015.
“Untuk itu, kerjasama antara pihak polis dan sekolah seperti mengadakan sesi berdialog dilihat menjadi platform terbaik bagi memberi pendedahan kepada mereka sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengetua SMTAS Noresah Mohd Shariff berkata seramai 59 pelajar yang dipilih sebagai Ahli Pemimpin Pelajar bagi sesi persekolahan 2017 bukan sahaja bertindak sebagai pengawas tetapi lebih penting sebagai pembimbing kepada rakan.
“Mereka ini bukan saja memimpin dari segi akademik tetapi diajar untuk membantu meningkatkan sahsiah diri bagi kecemerlangan masa depan setiap pelajar,” katanya. – BERNAMA