JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pembantu tadbir yang bertugas di sebuah Pejabat Kesihatan Daerah Muar kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM109,930 bagi kerja-kerja pembekalan barangan bukan ubat yang tidak dibekalkan.
Menurut sumber, suspek wanita berusia 53 tahun itu dipercayai telah mengemukakan tuntutan tersebut bagi beberapa klinik kesihatan di daerah Muar pada penghujung bulan November 2015.
Wanita tersebut ditahan di pejabat SPRM Negeri Johor cawangan Batu Pahat ketika hadir untuk memberikan keterangan kira-kira 3.30 petang hari ini.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan, suspek juga disyaki bersubahat dengan seorang kontraktor yang meminjamkan lesen syarikatnya bagi membolehkan suspek mengemukakan tuntutan palsu itu,” katanya.
Hasil daripada tuntutan palsu yang dibuat, sebanyak RM93,440 telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan wanita tersebut dan selebihnya dipercayai telah dibayar kepada kontraktor tersebut sebagai upah bagi meminjamkan lesen syarikatnya.
Wanita itu dijangka direman di Mahkamah Majistret Batu Pahat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. – BERNAMA