BANGI – Anggota gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bersikap rasional dan memilih presiden baharu badan induk itu tanpa terbawa-bawa dengan emosi masing-masing.
Bekas Setiausaha FAM Tan Sri Dr Ibrahim Saad berkata setiap pihak yang terlibat dalam Kongres FAM ke-53 tidak perlu memperkecilkan mana-mana individu dan melihat pemilihan itu penting demi masa depan bola sepak negara.
Mengulas siapa calon yang lebih layak dipilih sebagai presiden baharu antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa, beliau berkata kedua-dua calon mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak.
“Saya lebih suka positif, sekiranya antara mereka menang, saya yakin mereka akan mencurahkan pengalaman dan keupayaan untuk kebaikan bola sepak negara.
“Kita tidak perlu memperkecilkan sesiapa atau menyakitkan hati sesiapa, tetapi melihat sebagai satu yang positif untuk bola sepak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
FAM pada Isnin mengumumkan Tunku Ismail dan Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai calon yang mengesahkan pencalonan mereka untuk merebut jawatan presiden.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang mahu Kongres FAM bagi penggal 2017-2021 dipimpin 100 peratus muka baharu pada 25 Mac ini.
Menurutnya pemilihan FAM hanya diundi oleh 50 anggota gabungan dan mereka yang mengundi sudah berada dalam FAM lebih daripada 10 tahun.
“Saya tidak setuju jika pemilihan kali ini ditukar 100 peratus. Kalau mahu berbuat demikian saya rasa mereka yang mengundi juga perlu tukar. Mereka sudah ada dalam FAM lebih daripada 10 tahun, itu sistem yang ada dan jika ada kelemahan kita perlu perbaiki,” katanya.
Ibrahim berkata impak pemilihan FAM bukan hanya memberikan kesan kepada anggota gabungan sahaja tetapi penentu masa depan bola sepak negara. – BERNAMA