ALOR SETAR – Seorang pemilik gudang ditahan selepas cuba memberi rasuah RM500 kepada pegawai penguatkuasa Syarikat Air Darulaman Sdn. Bhd. (SADA), setelah didapati bersalah melakukan kegiatan mencuri air lebih empat tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abd Ghani Zainuddin berkata suspek, seorang lelaki berumur 68 tahun, cuba memberi suapan ketika pegawai berkenaan sedang melakukan pemeriksaan ke atas gudangnya yang dijadikan tempat menghasilkan sarang burung walit.
“Rentetan daripada kejadian itu, SADA telah menyerahkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Siasatan juga mendapati pemilik gudang itu turut menjalankan aktiviti penanaman pokok kelapa dan sewa rumah, manakala premis tersebut pernah dijadikan kilang membuat simen konkrit yang beroperasi lebih tujuh tahun.
“Kita percaya masih banyak premis yang menggunakan air secara haram di Kedah dan menegaskan, SADA akan mengambil tindakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, sumber SPRM Kedah mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
Semalam, SADA baru sahaja menandatangani Ikrar Bebas Rasuah sebagai menyokong usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa. – BERNAMA