AL-KISAHNYA seorang pemuda berusia 28 tahun dari Pulau Mantehage, Minahasa Utara, Indonesia dilaporkan bertemu jodoh dengan nenek berusia 82 tahun.
Sofian Loho Dandel, 28, menikahi Martha Potu, 82, pada Sabtu lalu disaksikan oleh keluarga pihak pengantin lelaki.
Meskipun jarak umur yang cukup ketara di antara kedua-duanya, namun pasangan ini tidak segan membahasakan diri mereka sebagai ‘mami-papi’ saat ditemubual laman tempatan negara itu.
Menurut Sofian, segalanya bermula dengan satu panggilan telefon yang diterimanya ketik sedang bekerja di sebuah bengkel di Kotamobagu.
“Setahun lalu, ada panggilan telefon masuk ke telefon saya. Tidak tahu siapa, saya angkat dan kami berkenalan. Bermula dari situ, kami terus berkomunikasi.
“Saya belum pernah pacaran sebelumnya. Saya merasa jatuh cinta,” katanya.
Penasaran dengan rasa cinta yang dialaminya, Sofian nekad untuk bertemu Martha di Lelama namun dia terkejut apabila pertama kali memandang buah hatinya itu.
“Saya tidak tahu kalau Martha sudah setua ini. Namun, kami merasa benar-benar jatuh cinta, dan sepakat melanjutkan hubungan ini,” jelasnya lagi.
Perasaan cinta yang tidak berbelah bahagi antara mereka menyebabkan kedua-duanya nekad untuk melangsungkan perkahwinan lalu Sofian menyampaikan hasratnya itu kepada keluarganya tanpa mendedahkan usia bakal isterinya itu.
“Kami tidak tahu calon isterinya seorang nenek. Sangat terkejut waktu itu, tetapi nak kata apa. Kami lihat mereka saling menyayangi, jadi kami setuju saja dengan pilihannya,” kata ibu Sofian, Magdalena yang berusia 60 tahun.
Kisah pernikahan dan foto-foto pasangan ini tersebar di laman sosial tempatan dan pelbagai kritikan diterima oleh mereka namun tidak diendahkan oleh pasangan yang mempunyai perbezaan umur sebanyak 54 tahun itu.
“Seperti yang dikatakan oleh paderi sewaktu pernikahan, kami akan setia selamanya selagi diizinkan Tuhan,” jelas Sofian.
Kata-kata itu turut dipersetujui Martha yang telah 10 tahun ‘menjanda’ selepas kematian suaminya.
Malah Martha sebelum diketemukan dengan Sofian selalu berdoa supaya dihadirkan dalam hidupnya seorang lelaki yang mampu menjaganya di usia emas dan doa itu nyata termakbul.
Martha difahamkan tinggal bersendirian di rumahnya manakala dua anak lelakinya masing-masing berada di Jerman dan Arab Saudi. – MYNEWSHUB.CC