IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan penerima skim pinjaman Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) agar tidak menggunakan wang pinjaman untuk melangsaikan hutang.
Zambry berkata YBUDR memberi pinjaman itu dengan matlamat untuk membantu peminjam menjalankan perniagaan sekali gus mengubah kehidupan mereka menjadi lebih berjaya.
“Kita ada masalah sebegini (guna wang pinjaman untuk melangsaikan hutang) namun, lebih ramai peminjam memanfaatkan wang tersebut untuk ubah diri mereka dengan menceburi bidang perniagaan.
“Pihak YBUDR telah mengingatkan peminjam agar tidak menjadikan YBUDR untuk urusan-urusan (langsai hutang) selain daripada apa yang kita nak capai kerana matlamat kita adalah untuk membasmi kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Urusan YBUDR dan menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBUDR yang turut dihadiri Pengerusi YBUDR Datuk Saarani Mohamad.
Pada lawatan itu, Zambry turut meluangkan masa bertemu dengan 10 usahawan yang berjaya menjalankan perniagaan hasil daripada Skim Mikro Kredit Amanjaya Belia Negara.
Menurut Zambry, antara bantuan yang diberikan YBUDR adalah Skim Pinjaman Iktisad Bina Upaya; Skim Transformasi Kedai Runcit; Skim Pembiayaan Kluster Ekonomi Keluarga Amanjaya; Skim Mikro Kredit Amanjaya Belia Negara; YBU Kiosk Amanjaya.
Zambry berkata YBUDR memberi pinjaman kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang serta agama dan peminjam perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Saya gembira melihat antara mereka (peminjam) berjaya. Sebelum ini mungkin pendapatan mereka sekitar RM1,000 hingga RM1,500 tetapi kini ada yang telah capai (pendapatan) hampir RM8,000 hingga RM10,000,” katanya.
YBUDR adalah sebuah entiti bebas yang diwujudkan pada 15 Mac 2010 bukan bermotifkan keuntungan sebaliknya untuk menangani kemiskinan dengan menyasarkan golongan miskin, mudah miskin dan miskin tegar.
Yayasan itu turut memperkenalkan sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu, pinjaman perumahan tanpa faedah melalui Skim Rumah Insan Amanjaya dan program membaik pulih membina rumah baharu untuk mereka yang memenuhi syarat. – BERNAMA