NILAI – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori yang membawa muatan dedak ayam dalam kejadian di Jalan Gadong-Sepang, di sini hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Faizal Rahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.30 pagi dan tiba bersama lapan anggota di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
“Mangsa yang berusia 26 tahun itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban dari tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dirempuh lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya lori itu kemudian terbalik menyebabkan mangsa tersepit di bawah lori tersebut.
“Pihak kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya menambah pemandu lori itu mengalami patah kaki dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut. – BERNAMA