KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Tren Intercity sektor Pantai Timur yang mengalami gangguan akibat banjir dan tanah runtuh sejak 27 Jan lepas kini kembali beroperasi seperti biasa.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan perkhidmatan tren itu kembali pulih bermula 10 malam tadi.
KTMB telah melakukan pembersihan tanah yang menutupi landasan dan penambakan semula tebing landasan yang runtuh.
Pemeriksaan landasan turut dilakukan bagi memastikan struktur landasan mengikut spesifikasi standard, kata kenyataan itu.
Bagaimanapun mengikut kenyataan tersebut, perjalanan tren akan mengalami sedikit kelewatan memandangkan tren perlu diperlahankan di kawasan yang baru dibaik pulih itu. – BERNAMA