“TEMANÂ wanita saya adalah seorang Muslim dan dia dari Malaysia,” itu yang diperkatakan seorang lelaki, Randy Seidman yang pernah dikaitkan dengan pelakon Nur Fazura.
Dia malah sanggup tampil mempertahankan wanita tersebut selepas terganggu melihat plakad provokasi bagi melarang kemasukan komuniti Islam di Amerika Syarikat (AS).
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di YouTube, lelaki yang juga seorang deejay secara spontan mempertahankan Fazura selepas melihat dua lelaki memegang plakad provokasi ketika mereka berada di New York.
Randy naik ‘berang’ apabila plakad yang meminta orang ramai menderma bagi halang kemasukan umat Islam ke AS sementara seorang lagi memegang kad tertulis “larangan terhadap orang Islam adalah jalan penyelesaian”.
“Kenapa teman wanita saya dilarang masuk sedangkan dia tiada kaitan dengan sebarang keganasan. Anda membuat kenyataan kosong mengenai Muslim dan saya tersinggung.
“Teman wanita saya adalah wanita cantik dan mempunyai jiwa baik dan anda mengatakan dia sepatutnya dihalang masuk. Fikir dahulu sebelum anda bertindak,” katanya.
Fazura dalam video yang berdurasi 10 minit itu hanya mendiamkan diri dan bertindak cuba menghalang Randy daripada terus berbalah dengan dua lelaki berkenaan.
Pemerhatian mendapati video tersebut dihasilkan oleh dua individu dikenali sebagai Izzy dan Haseeb yang sebelum ini banyak menghasilkan video eksperimen sosial berkaitan masyarakat.
Izzy dan Haseeb menghasilkan video tersebut bagi melihat reaksi rakyat AS terhadap perintah eksekutif melarang kemasukan pelarian dan pelawat dari tujuh buah negara Islam oleh presiden Donald Trump baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video tersebut, rata-rata individu di dalam rakaman itu tidak menyokong dan hanya berlalu pergi manakala ada juga yang memberikan sumbangan kepada dua individu itu.
Isu itu juga bukan sahaja menimbulkan kemarahan dan bantahan masyarakat dunia tetapi rakyat Amerika sendiri.
Nyata perintah tersebut menimbulkan rasa bimbang masyarakat dunia terutamanya masyarakat Islam yang akan menjadi mangsa kepada penguatkuasaan baharu itu.
Bagaimanapun, Malaysia tidak termasuk dalam senarai tersebut malah setakat ini hanya tujuh negara yang terlibat iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman. – MYNEWSHUB.CC