BENTONG – Rakyat diseru agar terus mengamalkan konsep kesederhanaan untuk memastikan negara kekal aman dan harmoni bagi membolehkan kerajaan merancang pelbagai program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hanya dengan kesederhanaan, rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat terus bersatu padu dan bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing tanpa sebarang halangan dan persengketaan.
“Di negara ini, kita tidak mengamalkan ekstremisme keterlaluan sebab kita amalkan kesederhanaan. Islam sendiri mengamalkan konsep wasatiyyah iaitu seimbang dan sederhana dalam segala perbuatan dan amalan.
“Dalam agama Buddha turut mempunyai konsep yang sama walaupun akidahnya berbeza…masalah yang berlaku kini (keganasan), bukanlah kepada agamanya tetapi kehadiran ekstremis dalam agama,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2017 di Dataran Bentong di sini malam tadi. Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri Datin Seri Junaini Kassim, Presiden MCA merangkap Anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai dan isteri Datin Seri Lee Soon Loo.
Selain itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, turut hadir pada majlis berkenaan.
Lebih 20,000 tetamu terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka berkenaan yang diserikan dengan pelbagai acara kebudayaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Perdana Menteri berkata disebabkan ekstremisme, wujudnya kumpulan pengganas Daesh dan golongan pelampau agama yang mengorbankan banyak nyawa insan yang tidak berdosa.
Pada masa sama, Najib berkata keamanan dan keharmonian yang dikecapi pada masa kini adalah hasil usaha pemimpin negara yang terdahulu diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, yang telah meletakkan asas perpaduan yang kukuh.
“Semua dasar perlembagaan negara menekankan kita perlu saling hormat menghormati perbezaan kepelbagaian dari segi budaya, bahasa dan agama.
“Kita hormat agama masing-masing, contoh saya tiba tadi di sini, Datuk Seri Adnan minta saya tunggu dulu sebab di masjid orang tengah solat Isyak, namun orang Cina tidak merungut, mereka tunggu dan hormat…inilah indahnya Malaysia,” katanya. – BERNAMA