KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) memperlekehkan usaha kerajaan Malaysia memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub mendakwa kononnya usaha kerajaan Malaysia untuk mendapatkan pulau itu selepas terlepas kepada Singapura dalam keputusan ICJ pada Mei 2008 merupakan propaganda politik.
“Usah jadikan tuntutan Pulau Batu Puteh propaganda untuk pilihan raya umum ke-14.
“Jangan jadikan isu tuntutan semua Pulau Batu Puteh hanya sebagai propaganda untuk memenangi hati rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kerajaan Malaysia pada 3 Februari lau memfailkan permohonan semakan berkaitan keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang pernah menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.
Permohonan semakan oleh Malaysia itu adalah berdasarkan Perjanjian Khas bertarikh 9 Mei 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama.
Ia dilakukan berlandaskan undang-undang antarabangsa dan mengikut ketetapan ICJ di The Hague, Belanda. – MYNEWSHUB.CC