KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) kesal dengan penyebaran fakta yang mengelirukan mengenai penjualan pelekat pemantul cahaya (reflektor) MS 828:2011 oleh segelintir pihak di media sosial.
Puspakom dalam satu kenyataan berkata, laporan-laporan tidak benar berkaitan harga dan penjualan pelekat pemantul cahaya itu di pusat pemeriksaan Puspakom telah menyebabkan imej agensi berkenaan tercalar.
“Puspakom meminta orang ramai tidak terperdaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mempengaruhi harga pelekat pemantul cahaya dan cuba memutarbelitkan fakta mengenai pemasangan dan penjualan pelekat pemantul cahaya ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Berikut jawapan Puspakom mengenai pelbagai tohmahan yang dilemparkan berhubung penjualan reflektor) MS 828:2011 di pusat pemeriksaannya:
Kekeliruan 1: Puspakom menjual pelekat pemantul cahaya (Puspakom tidak menjual pelekat pemantul cahaya tetapi hanya menyediakan ruang di beberapa pusat pemeriksaan Puspakom untuk aksesori itu dijual kepada pelanggan kami. Dua pengeluar iaitu 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions telah diberikan ruang tersebut kerana pelekat pemantul cahaya mereka menepati standard SIRIM MS 828:2011.
Ruang ini diberikan kepada mereka demi kemudahan pelanggan Puspakom. Puspakom tidak pernah mengiktiraf mana-mana pengeluar pemantul cahaya kerana ia di luar bidang kuasa kami. Pengiktirafan ini diberi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Oktober 2016 atas dasar produk mereka menepati pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM.
Kekeliruan 2: Pelekat pemantul cahaya ini hanya boleh didapati di Puspakom (Produk 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions ini juga boleh dibeli di mana-mana pengedar mereka. Kaunter-kaunter jualan pelekat pemantul cahaya dua pengeluar tersebut ditempatkan di Puspakom merupakan inisiatif Puspakom untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelekat pemantul cahaya tersebut.
Kekeliruan 3: Puspakom menentukan harga pelekat pemantul cahaya (Harga pelekat pemantul cahaya
keluaran 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions menetapkan harga jualan pelekat pemantul cahaya mereka. Puspakom terlibat dalam penentuan harga, cara promosi atau taktik pemasaran mereka dan tidak mengambil komisen atau margin daripada penjualan produk tersebut.
Kekeliruan 4: Kenderaan akan gagal pemeriksaan jika tidak menggunakan reflektor yang dibeli dari Puspakom (Puspakom hanya mempunyai mandat memeriksa pelekat pemantul cahaya yang dipasang pada kenderaan komersil berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh JPJ. Garis panduan piawaian reflektor boleh didapati di laman web www.puspakom.com.my.
JPJ dan Puspakom telah membuat pengumuman dan memberi garis panduan tentang piawaian pemeriksaan reflektor yang dijalankan di Puspakom sebagai rujukan untuk pemilik kenderaan yang berkenaan pada tahun lepas. – MYNEWSHUB.CC