KOTA KINABALU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Batu Payung, Tawau, yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), ditamatkan 6 petang ini.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata keputusan itu dibuat berikutan soal siasat ke atas juragan bot dikenali sebagai Juma, 24, yang ditahan polis di Tawau pagi tadi, menyatakan mangsa terakhir yang belum ditemukan, dilapor berjaya menyelamatkan diri ke Sungai Nyamuk, Indonesia.
“Keadaan mangsa terakhir, Joko Rahaman, 35, belum disahkan lagi oleh pihak berkuasa kita mahupun Indonesia.
“Bagaimanapun dengan perkembangan itu, operasi ini ditamatkan,” katanya pada sidang media mengenai perkara itu, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata operasi SAR itu akan diaktifkan semula jika kedudukan Joko gagal disahkan dan masih dilaporkan hilang oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.
Pada Selasa lepas, bot dinaiki 15 orang, kebanyakannya warga Indonesia, dilapor karam akibat dipukul ombak ketika menuju Sunyai Nyamuk, Indonesia.
Penemuan 14 daripada 15 mangsa telah disahkan, dengan 10 meninggal dunia.
Mengenai operasi SAR bot pelancong katamaran yang karam di perairan Pulau Mengalum, Mohd Zubil berkata belum ada petunjuk baharu dalam mencari lima daripada 31 mangsa yang hilang dan operasi itu akan diteruskan.
Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini, 26 mangsa dijumpai termasuk empat yang maut. – BERNAMA