KISAH cinta antara pelakon Ashraf Muslim dan Sherry Ibrahim sudah lama tinggal sebagai kenangan.
Masing-masing sudah pun bahagia memulakan hidup baharu dan Ashraf kini sudah pun memiliki keluarga.
Namun, apa yang menarik perhatian apabila Ashraf dan Sherry baru-baru ini dilihat bergambar bersama pada majlis Malam Gala Filem Syurga Yang Tak Dirindukan 2.
Tindakan itu lantas membuatkan ramai tertanya adakah mereka sudah kembali mesra selepas perpisahan itu.
Mengulas mengenai hal itu, Sherry memberitahu, mereka sebenarnya sudah pun saling bermaafan.
Menurutnya, sebelum ini mereka pernah beberapa kali terserempak di beberapa acara tetapi hanya sekadar bertegur sapa dan bertanya khabar.
“Kami sudah saling bermaafan dan tak salah untuk kami bersahabat.
“Rasa janggal itu memang ada apabila terserempak dengannya. Kali terakhir kami bergambar bersama adalah kira-kira lapan tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Sherry memberitahu, dia juga tidak kisah jika masa akan datang ditawar berlakon bersama bekas kekasihnya.
“Saya dan Ashraf bekerja secara profesional. Kalau ada tawaran untuk kami bergandingan, tak menjadi masalah kerana saya akan jalankan tugas saya sebagai pelakon.
“Skrip pun perlulah sesuai dengan penampilan saya dan dia kini adalah suami orang,” katanya. – MYNEWSHUB.CC