SEORANG lelaki dikenal pasti sebagai abang tiri diktator Korea Utara, Kim Jong-Un mati diracun ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), Sepang, Selangor semalam.
Tidak ramai yang mengetahui kewujudan lelaki ini sebelum berita kematiannya dipercayai dibunuh dua orang ejen wanita asing, mendapat liputan meluas dunia, sehingga mencetuskan soalan siapakah Kim Jong-Nam sebenarnya?
Pada satu ketika dia pernah menjadi bakal pewaris takhta satu-satunya dinasti komunis dunia, namun dunianya berubah 180 darjah apabila dihukum hidup dalam buangan sebelum kematian ayahnya, Kim Jong-Il pada 2011.
Bukan itu sahaja, malah dia juga terpaksa menyembunyikan diri serta mengelak daripada pergerakannya dihidu adik tirinya, yang masih lagi gusar sekiranya dia akan kembali bagi menuntut hak untuk berkuasa.
Jong-Nam dilahirkan di ibu negara Korea Utara, Pyongyang pada 10 Mei 1971 dan sebenarnya merupakan anak lelaki sulung Jong-Il.
Jong-Nam memang ditakdirkan untuk menjadi kambing hitam oleh keluarga sejak dia dilahirkan lagi. Ini kerana, pada awalnya kelahiran bayi itu disorokkan daripada pengetahuan datuknya, Kim Il-sung.
Dia dilaporkan tidak berkenan langsung dengan hubungan rahsia Jong-Il bersama ibu Jong-Nam yang merupakan seorang aktres kelahiran Korea Selatan.
Jong-Nam menyambung pelajarannya di Universiti Kim Il-Sung sebelum berkhidmat untuk Tentera Rakyat Korea (KPA) sehingga dia dilantik sebagai pegawai tinggi di Kementerian Keselamatan Awam pada tahun 1998.
Dia dikatakan bakal ganti ayahnya. Selain itu, Jong-nam diberi tanggungjawab mengetuai teknologi maklumat (IT) Korea Utara selain pernah menemani bapanya untuk lawatan dan perbincangan sektor IT di Shanghai, China.
Bagaimanapun, empat bulan sleepas itu, dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo, Jepun bersama-sama dua orang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang dikenal pasti sebagai anaknya.
Jong-nam telah ke luar negara menggunakan pasport Republik Dominica palsu serta menggunakan nama samaran Cina iaitu Pang Xiong yang bermaksud ‘beruang gemuk’ dalam dialek Mandarin. Dia ditahan selama tiga hari.
Ketika sesi soal-siasat, Jong-nam memberitahu pihak imigresen Jepun bahawa dia cuma ingin melawat Disneyland Tokyo. Beberapa tahun kemudian, dalam buku “Under the Loving Care of the Fatherly Leader”, rahsia terbongkar.
Penulisnya Bradley Martin menyatakan bahawa Jong-Nam telah melawat Jepun beberapa kali dan merupakan pelanggan tetap spa-spa lelaki di daerah Yoshiwara yang cukup terkenal dengan banyak rumah pelacuran.
Akibat malu dengan insiden tersebut, Jong-Il kemudian membatalkan lawatan ke China itu dan hukum Jong-Nam untuk hidup dalam buangan di Macau, di mana dia dilaporkan memalsukan pasport Portugal untuk melancong.
Dalam beberapa temu bual berasingan, Jong-Nam bagaimanapun menyatakan bahawa dia langsung tidak mempunyai minat untuk mengambil alih kuasa politik di Korea Utara.
Jawatan bakal penyambung legasi itu kemudian diturunkan kepada Jong-Un, adik tirinya, selepas kematian mengejut bapanya pada 2011. Jong-Un dikatakan melihat Jong-Nam sebagai ancaman terhadap hak kekuasaannya.
Apatah lagi Jong-Nam yang bermulut ‘celupar’ itu juga dengan beraninya pernah mempersoalkan kewibawaan Jong-Un untuk memimpin Korea Utara di dalam buku “My Father, Kim Jong-il, and Me”.
Katanya, dia yakin bahawa rejim pimpinan Jong-Un akan tumbang dalam masa singkat kerana adiknya itu terlalu muda dan langsung tiada memiliki pengalaman luas dalam bidang pentadbiran.
Dalam temubual lain pula, Jong-Nam pernah berkata bahawa dia menolak keras pelaksanaan sistem warisan kuasa mengikut keturunan yang diamalkan oleh rejim Korea Utara.
Jong-Nam meninggalkan Macau lewat 2012 selepas gusar akan keselamatannya oleh kerana seorang perisik Korea Utara yang ditangkap di Korea Selatan mengakui telah diarahkan membunuh Jong-Nam pada Julai 2010.
Malah, terdapat beberapa percubaan untuk membunuh lelaki itu selepas kematian ayahnya. Lelaki berusia 46 tahun itu kemudian membahagi masanya antara Singapura dan Macau sebelum dikesan di Malaysia pada Januari 2014.
Dia terpaksa berpindah randah secara rahsia selepas adik tirinya mengarahkan agar bapa saudara mereka, Jang Song-Thaek dihukum bunuh pada akhir 2013 lalu. – MYNEWSHUB.CC/SK