PENYANYI Mya yang sebelum ini dikenali sebagai Maya Matahari sudah lama tidak menghiasi paparan paparan skrin kaca televisyen.
Menurut selebriti genit ini kepada sebuah portal hiburan, dia terpaksa menolak tawaran berlakon yang diterimanya ekoran sibuk dengan undangan persembahan nyanyian.
“Alhamdulillah, rezeki buat persembahan pentas masih ada. Terima kasih buat semua yang menghargai. Tetapi saya akui, terpaksa tolak tawaran berlakon pula kerana komitmen kini pada nyanyian,” katanya kepada Media Hiburan.
Meskipun sibuk dengan aktiviti nyanyian, namun Mya turut menyatakan kesediaan untuk berlakon sekiranya peranan dan watak yang diterima itu tidak berat dan mengganggu jadual nyanyiannya.
Keputusan itu diambil oleh pelakon berusia 41 tahun ini kerana dia mengerti terdapat segelintir dalam kalangan peminatnya yang rindu untuk melihatnya berlakon dan menghiasi paparan skrin kaca televisyen.
“Kalau berlakon drama atau pun membuat cameo mungkin boleh kerana ia tidak makan masa yang lama. Saya boleh consider. Banyak peminat yang rindu mahu tengok saya berlakon sebenarnya.
“Tapi Lebih baik kita terus terang dari menipu tak datang ke lokasi di kemudian hari. Saya tak mahu menyusahkan semua orang. Jadi saya tak berani,” jelasnya.
Mya popular sekitar tahun 90-an dengan lagu Diari Biru dan Matahari, selain pernah mengeluarkan tiga album iaitu Satu Jam Lagi (1995), Sinar Cinta (1998) dan Mata Maya (2010). – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Media Hiburan