KEMAMAN – Para usahawan yang berminat menceburi bidang perniagaan makanan berasaskan ikan bakar dipelawa mencuba menu terbaharu yang diperkenalkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) iaitu ikan tilapia bakar bersalut garam yang dikenali sebagai ‘snow fish’.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata teknologi, kaedah dan resipi untuk menu tersebut telah disediakan oleh DOF.
Katanya, pengusaha yang berminat untuk menceburi bidang ini boleh mengguna pakai model perniagaan ‘Pakej Snow Fish’ yang berpotensi memberikan pulangan lumayan melebihi RM6,000 sebulan kepada pengusahanya.
“Dengan keupayaan mesin yang direka khas untuk membakar ikan tilapia itu sebanyak 50 ekor sehari, peniaga yang mengambil Pakej Snow Fish ini berpeluang mendapat RM6,000 sebulan.
“Pada masa ini, cara membakar ikan seperti ini amat jarang dilihat di Malaysia dan kita menjangkakan permintaan yang tinggi daripada peminat ikan bakar hasil promosi yang sedang berjalan ketika ini.
“Secara tidak langsung dapat mengubah persepsi rakyat Malaysia terutama generasi terdahulu yang sering menganggap ikan air tawar sebagai ikan kategori ‘kelas kedua’ atau ‘kualitinya rendah’ selepas ikan laut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan menu dan pakej Snow Fish peringkat kebangsaan di Dataran Pantai Kemasik di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan.
Pada majlis tersebut, Ahmad Shabery turut menyampaikan 35 mesin snow fish kepada usahawan perintis snow fish di seluruh negara di bawah bimbingan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata sudah tiba masanya ikan air tawar diberi nafas baharu dengan memperkenalkan pelbagai menu yang lebih istimewa dan unik, paling penting boleh diterima ramai sebagai selera rakyat Malaysia.
“Sekarang pun ikan air tawar harganya lebih mahal berbanding ikan laut dan saya berharap lebih ramai golongan muda akan menceburinya untuk dijadikan sumber pendapatan utama mereka,” katanya.
Setakat ini, seorang peniaga di Kelantan yang terlibat dalam projek perintis model perniagaan tersebut mampu menjual sehingga 200 ekor ikan sehari.
Sementara itu, Ismail berkata kementerian turut menyediakan kemudahan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional bagi memulakan perniagaan snow fish melalui skim TemanNita dan TEMAN TEKUN kepada para usahawan yang berminat dengan perniagaan ini.
“Selain snow fish, model perniagaan ‘Dancing Tilapia’ turut diperkenalkan oleh pihak jabatan khusus untuk ikan air tawar yang bakal memberi pulangan sehingga RM5,000 sebulan jika diusahakan dengan jayanya.
“Jabatan juga berjaya melahirkan seorang usahawan memproses sate tuna yang beroperasi di Labuan dengan kerjasama Pejabat Perikanan Labuan yang sedang meluaskan rangkaian promosi dan pasaran sate tuna sebagai hab industri hiliran ke seluruh negara,” katanya. – BERNAMA