PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mula merakamkan keterangan Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang, Datuk Adam Rosly.
Ia dipercayai berhubung dakwaan kekayaan luar biasa dimiliki pemimpin muda PKR tersebut sehingga pernah menjadi tular apabila dibongkarkan Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tahun lalu.
Adam, 28, yang menjadi tumpuan ekoran dakwaan tersebut tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 8.15 pagi dengan menaiki kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire.
Beliau juga dilihat membawa beberapa dokumen ketika memasuki bangunan tersebut.
Bercakap kepada pemberita selepas melalui empat jam proses temu bual, Adam berkata pelbagai soalan dikemukakan termasuk berkenaan sumber pendapatannya.
“Saya bukannya disoal siasat, pegawai SPRM hanya menemu bual, bertanyakan mengenai sumber pendapatan dan saya ucapkan terima kasih kerana mereka menjalankan tugas dengan profesional,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kemewahan luar biasa Adam yang didakwa memiliki banglo dan beberapa kereta mewah meskipun baru memegang jawatan dalam PKR.
Susulan itu, satu laporan terhadap SPRM telah dibuat Ketua UMNO Ampang Datuk Ismail Kijo. – BERNAMA