KUALA LUMPUR – Malaysia perlu meminta Korea Utara menggugurkan kekebalan diplomatik Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang Song sebelum boleh dipanggil oleh pihak polis.
Pegawai-pegawai diplomat berkata selagi rejim Korea Utara tidak berbuat demikian, tiada tindakan boleh diambil oleh pihak polis disebabkan peruntukan dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
Mereka berkata Konvensyen itu melindungi semua pegawai gred diplomatik daripada pendakwaan di bawah undang-undang sivil dan jenayah.
Pegawai-pegawai itu adalah mereka yang disenaraikan sebagai Setiausaha Ketiga, Kedua dan Pertama, kaunselor, menteri kaunselor dan yang memegang jawatan duta, dalam misi diplomatik.
Atase pertahanan dan perdagangan yang dihantar untuk misi tertentu juga dianggap diplomat dan menikmati kekebalan ini.
Walau bagaimanapun, kakitangan seperti kerani, pembantu dan pemandu tidak dilindungi.
Seorang diplomat kanan berkata rejim itu dilihat tidak mungkin akan bekerjasama dengan Malaysia.
Beliau berkata, bagaimanapun terdapat beberapa beberapa tindakan yang terbuka kepada Malaysia.
“Salah satunya adalah mengisytiharkan Hyon sebagai persona non-grata (PNG) dan mengusirnya dari Malaysia.
“Tetapi ini tidak akan membantu siasatan,” kata pegawai itu.
Pegawai itu berkata jika hubungan semakin teruk, Malaysia mungkin akan memutuskan hubungan dengan Korea Utara dan memerintahkan dutanya dan diplomatnya pulang dalam tempoh 24 jam.
“Jika mereka tidak mematuhi perintah ini, maka pihak polis boleh campur tangan,” katanya.
Pegawai itu berkata, tidak seperti duta atau pesuruhjaya tinggi yang diperiksa terlebih dahulu oleh negara tuan rumah sebelum mereka dihantar, pegawai diplomat lain yang dihantar masuk ke sini tidak melalui pemeriksaan latar belakang.
Beliau berkata pegawai-pegawai itu hanya boleh diarahkan keluar jika mereka kemudian disyaki terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan negara tuan rumah.
“Jadi dalam kes Hyon, dia datang tanpa sebarang semakan latar belakang oleh Malaysia,” kata pegawai itu.
Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Param Cumaraswamy berkata kekebalan diplomatik bukan bersifat peribadi kepada seorang diplomat, tetapi menjadi satu imuniti kepada negara.
Beliau berkata jika negara berkenaan tidak bersetuju untuk mengecualikan imuniti, tiada apa yang dapat dilakukan oleh negara tuan rumah.
Justeru beliau berkata adalah lebih selamat untuk negara tuan rumah mengisytiharkan PNG kepada diplomat itu dan negara yang menghantarnya perlu memanggil pulang diplomat berkenaan.
“Itu adalah peruntukan di bawah Konvensyen Vienna.
“Secara umumnya, semua orang dari negara asing yang bekerja di kedutaan itu akan dilindungi di bawah konvensyen itu,” katanya.
Pengerusi bersama Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Andrew Khoo berkata Hyon, sebagai Setiausaha Kedua, telah dilindungi oleh imuniti diplomatik.
“Satu perkara yang kerajaan boleh lakukan ialah mengusirnya dari Malaysia.
“Tidak ada jalan untuk memaksanya bekerjasama, kecuali dengan cara itu tanpa melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya. – The Star/mStar Online