PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan bonus atau hibah kepada pendeposit, merangkumi 4.25 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 1.5 peratus, kepada yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini berkata kesemuanya melibatkan pembayaran sebanyak RM2.88 bilion.
Untuk rekod, TH mengumumkan 5.0 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 3.0 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji pada tahun kewangan 2015, berjumlah RM3.24 bilion.
Ia akan dikredit ke dalam akaun pendeposit selewat-lewatnya Isnin ini. Jamil memberitahu demikian pada majlis Pengumuman Hibah kepada pendeposit TH 2016, di Kompleks Islam Putrajaya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Mengulan lebih lanjut, Jamil memberitahu bahawa bonus yang diumumkan ini sudah mengambil kira 2.5 peratus bayaran Zakat Perniagaan TH 2016 sebanyak RM60.3 juta.
Bayaran zakat berkenaan akan dibuat kepada semua pusat zakat di negeri-negeri dan juga secara langsung kepada asnaf yang layak. – BERNAMA