KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan kemenangan Datuk Amar Jamilah Anu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap wakil BN.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rakyat Sarawak telah menzahirkan sokongan jelas terhadap BN untuk terus memperjuangkan keharmonian, inklusiviti dan kesederhanaan.
“Saya pasti pencapaian ini amat bermakna bagi beliau dan akan terus membakar semangat untuk menyambung legasi, pengorbanan, jasa dan perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
“Parti komponen BN sedia memberi sokongan padu dan berganding bahu bersama Datuk Amar Jamilah Anu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Seri Mah Siew Keong berkata kemenangan Jamilah membuktikan bahawa rakyat Tanjong Datu mengiktiraf sumbangan dan usaha pimpinan BN dalam membawa pembangunan kepada DUN Tanjong Datu dan Sarawak.
“Tahniah (Datuk Amar) Jamilah Anu yang telah dipilih oleh para pengundi Tanjong Datu sebagai penerus aspirasi perjuangan dan legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. Saya yakin (Datuk Amar) Jamilah pasti bakal meneruskan gaya kepimpinan sederhana, terbuka dan inklusif yang telah menambat hati rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula mengucapkan tahniah kepada BN Sarawak kerana terus menjadi pilihan rakyat untuk mendapatkan sebuah negara yang lebih baik.
“Tahniah BN Sarawak BN Tetap pilihan rakyat BN for a Better Nation,” katanya dalam akaun Twitter.
Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong menyifatkan kemenangan Jamilah yang memperoleh peratus sokongan lebih tinggi adalah hasil kerjasama kerajaan negeri dan pusat.
“Tahniah BN kerana memenangi kerusi DUN Tanjong Datu dengan memperoleh peratusan sokongan kepada BN yang lebih tinggi 96.5 peratus. Tahniah YB (Datuk Amar) Jamilah.
“YB (Datuk Amar) Jamilah calon terbaik! BN Sarawak diterajui Abang Jo tetap kukuh! Muafakat BN Negeri dan Pusat membawa berkat. Teruskan kejayaan dan momentum ini!,” katanya dalam catatan di Twitter.
Jamilah menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit pada PRK Tanjong Datu hari ini.
Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi manakala Rapelson 130 undi dan Johnny Aput 108 undi. – BERNAMA