TINDAKAN nekad seorang wanita menendang motosikal dinaiki seorang lelaki yang cuba mencabulnya berjaya menyelamatkan maruahnya dalam kejadian di Kampung Pantai Chicar, Kuala Ketil, Kedah, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi, mangsa yang merupakan operator kilang berusia 23 tahun itu menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya sebelum menyedari diekori suspek dari arah belakang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shahriffudin Yusof berkata, mangsa menendang motosikal lelaki tersebut selepas susupek tiba-tiba menghampirinya dan terus memegang buah dadanya.
Menurutnya, motosikal suspek hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik.
Jelasnya, suspek yang cedera dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Kedah dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Menerusi perkongsian kejadian tersebut di laman Facebook ada menjelaskan bahawa mangsa menyedari diekori oleh suspek dan ketika itu memikirkan dia mungkin menjadi mangsa ragut.
Menurutnya, ketika menyedari motosikalnya diekori dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan apabila suspek mencabulnya, dia mempertahankan diri dengan menendang motosikal suspek. – MYNEWSHUB.CC