KUALA TERNGGANU – Kerajaan Terengganu menetapkan Mac ini sebagai Bulan Sukan Negeri atau ‘Beautiful Of Sport’ sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.
Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata lebih 30 acara sukan akan berlangsung sepanjang tahun ini manakala empat acara utama diadakan pada Mac, melibatkan pertandingan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Antara empat sukan utama yang diadakan sepanjang bulan sukan itu ialah sukan berkuda Piala Menteri Besar Terengganu di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu.
“Ketika ini ada beberapa kelab berkuda sudah mengesahkan penyertaan termasuk dari Thailand,” katanya kepada pemberita selepas melihat persiapan melukis kain rentang sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), di sini hari ini.
Kain rentang tersebut akan dipasang di tempat permulaan, sepanjang laluan perlumbaan serta penamat semasa LTdL diadakan di negeri ini.
Selain itu, Rozi berkata antara acara lain yang dipertandingkan adalah futsal pantai peringkat Asia dan Motocross Antarabangsa. – BERNAMA