KOTA KINABALU – Badan beruniform seperti Persatuan Pengakap mampu melibatkan belia dalam aktiviti sihat sekali gus menangani masalah sosial, kata Menteri Tugas-tuga Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang.
Katanya menerusi pengisian program yang menarik, persatuan itu bukan sahaja dapat menarik penyertaan pelajar sekolah tetapi juga golongan muda lain untuk melibatkan diri.
“Program Persatuan Pengakap ini seiring dengan dasar kerajaan untuk melibatkan pelajar sekolah menyertai organisasi beruniform,” katanya kepada pemberita selepas acara Larian Pesuruhjaya Pengakap, di sini hari ini.
Larian itu bersempena sambutan Hari Pengakap Sedunia ke-110 peringkat negeri.
Kira-kira 2,500 anggota pengakap termasuk dari Brunei, Indonesia, Filipina dan Vietnam menyertai larian itu.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Dr Mohd Zin Bidin dan Timbalannya Datuk Dr Awang Zaini Suntim. – BERNAMA