PUTRAJAYA – Van jenazah yang dipercayai membawa jasad Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, beredar dari Hospital Putrajaya di sini pagi Rabu.
Van putih yang diiringi empat kenderaan polis itu dilihat bergegas keluar dari hospital itu pada 8.55 pagi ini bagi mengelak anggota media yang berkumpul di jabatan forensik hospital itu sejak petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali sendiri turut dilihat berada di dalam salah sebuah daripada kenderaan berkenaan.
Puluhan wartawan, termasuk petugas media asing, terpinga-pinga apabila van itu meninggalkan hospital tersebut secara tiba-tiba.
Sumber di hospital itu berkata mayat warga asing itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
“Pakar di hospital ini memutuskan bahawa bedah siasat tidak sesuai dilakukan di bilik mayat di sini memandangkan HKL mempunyai lebih banyak kemudahan dan ruang lebih besar,” katanya kepada pemberita.
Pegawai dari Kedutaan Korea Utara atau anggota keluarga lelaki berkenaan tidak kelihatan di bilik mayat itu, yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan hospital.
Polis mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 pada Isnin ialah Kim Jong-Nam. – BERNAMA